Nukilan sifat sang ibu
Ibuku?
Seorang yang sederhana,
Sederhana pada percakapannya, sederhana dalam pergaulan, sederhana dalam berpakaian,
Ibuku tak pernah meminta-minta untuk dihiaskan padanya pakaian yang mewah-mewah, hatta emas pun tiada diminta.
Ibuku tak banyak bicara dalam ramai. Dia tak tahu masuk campur hal orang lain, tak suka mengumpat.
Ibuku sentiasa tersenyum, apabila diusik, kalau mungkin orang lain akan rasa marah merasakan diri dipijak, tidak pada ibuku. Dia anggap ia sekadar senda gurau.
Ibuku tidak masuk Universiti, tapi hebat berkomunikasi dalam bahasa inggeris, bukan tidak mendapat tawaran, tetapi mengutamakan kami, anak-anaknya.
Ibuku kuat, dia takkan mengeluh sakit selagi mana sakit itu bisa ditahan. Seboleh-bolehnya dia diamkan sakitnya.
Ibuku pendengar yang baik, segala ceritaku didengarinya dengan tenang. Nasihatnya ringkas, tapi padat meresap dalam hatiku, pemangkin semangatku.
Ibuku tetap berada dibelakangku, memapah aku bila aku lemah melangkah, menghulurkan tangannya dengan kasih sayang, Disaat yang lain mentertawakanku, dia tidak, dia menarik aku kembali berdiri bilaku tersungkur.
Ibuku, cintanya tanpa syarat, kasihnya tak minta balas, perhatian yang diberi tanpa sebarang kepentingan. Hanya kerana aku anaknya, maka baginya, segalanya untukku.
Ibuku tulus hatinya, tidak pesimis dengan orang, kebaikan orang lain terhadapnya, akan dibalas dengan rasa kasih, tanpa rasa syak akan dikhianat.
Ibuku jujur, tidak tahu mereka cerita, membuat helah atau tipudaya. kata-katanya terzahir terus dari hatinya.
Ibuku, sweet orangnya. Suka meraikan aku, anaknya. Tiap kali ulangtahun hari jadiku, dia akan beri sesuatu, kad yang dibuat sendiri, masihku simpan rapi dilaci. Tiap kali aku pulang dari asrama, dia akan masakkan pelbagai makanan kegemaranku, sebelum pulang, akan dia bekalkan sesuatu untuk aku. Habis sekolah, aku mula mencari pengalaman bekerja, aku berasa sempit, kos perbelanjaan makan ditempat kerja agak tinggi, aku cuma ada duit tambang pergi dan balik. Ibuku pagi-pagi lagi bekalkan nasi dan lauk untuk ku bawa ke tempat kerja.
Ibuku, garang kena pada tempatnya, dia menegurku tanpa bebelan panjang, sekadar 3 perkataan "yah, solat taubat".
Ibuku bukan pendendam, bagaimana teruk dikhianati, dia tetap maafkan, meski aku tahu, hatinya sakit, tapi dia berusaha ubati lukanya sendiri.
Ibuku, sanggup berkorban apa saja untukku, berhenti dari kerjayanya kerana aku, menjadi guru tadika, kerana aku, Tak diendahkan keinginannya, asalkan nasibku terbela.
Ibuku, sempurna pada aku.
Bisakah aku mewarisi segala kebaikannya sepanjang hayatnya?
Ibuku, keramatmu aku simpan,
Seminggu sebelum ibuku koma, aku minta dia bertahan, agar dapat datang ke majlis konvokesyenku. Dia mahu, tapi tak kesampaian. Walaupun dia sudah tiada lagi untuk menyaksikan kejayaanku nanti, akanku usaha sehabis baik mendapatkan apa yang telah aku janjikan padanya.
Kejayaan dunia dan akhirat aku kejar seiring, kerana matlamat aku ada dititik yang satu, Raih Cinta dan Redha Allah.
Semoga akhirat nanti, aku dapat bertemu dengannya, ceritakan segalanya yang aku lalui setelah dia tiada di belakangku. Ceritakan padanya, yang aku masih kuat dengan hidupnya dia dalam hatiku. Tuhan, temukan kami semula disyurga FirdausMu. Sungguh aku mahu.
No comments:
Post a Comment