Wednesday, 21 January 2015

Gunakan anugerah akal

Bismillah

Teringat pada teguran seorang pensyarah, yang lebih kurang begini masej yang ingin beliau sampaikan.
dan... ianya benar, padat, tepat dan "terkena".

"Kita sekarang ni terlalu leka, dan gemar memanja-manjakan akal fikiran kepada perkara remeh, isu-isu yang tidak membina dan kurang faedahnya. Sedangkan, akal kita boleh menghadam dan berfikir lebih dari itu,"

Saya sangat setuju dengan itu. Ya, kerana saya sendiri mengalaminya. Baru-baru ini, saya mendapat tugasan supaya membaca tesis Phd., yang pada asalnya timbul rasa malas kerana bahasanya yang begitu tinggi, isu-isu yang berat dan fizikalnya yang nampak membebankan (tebal sangat). Pada awalnya saya agak "terpaksa" kerana takut gagal menjawab soalan peperiksaan akhir di mana soalan tersebut katanya akan berkait dengan isu yang diperbahaskan di dalam tesis tersebut.

Segala rasa yang negatif saya buang, dan fokus membaca dan terus membaca. Itulah pertama kali saya begitu mengamati sesebuah penulisan ilmiah, memahami isu-isu yang dibangkitkan didalamnya. Akhirnya barulah saya mengerti, apa yang diperkatakan oleh pensyarah saya sebelum ini. Terlalu murah rupanya makanan minda saya selama ini, yang cuma menjadikan laman sosial sebagai bahan bacaan setiap hari, Sedang didalamnya, cuma penuh dengan perbualan ringan, isu terkini yang hangat di"viral"kan serta cemuhan keluhan manusia di dalam dunia masing-masing.
Mana faedahnya? Apa hikmah yang diperoleh? Apa makanan yang mencabar minda darinya?
Tiada. Jika ada sekalipun, sekelumit cuma.

Tahun 2015 ini seharusnya dijadikan sebagai satu titik permulaan untuk merubah cara berfikir dan cara menghargai akal fikiran anugerah Tuhan. Cukup-cukuplah selama ini, kemampuan akal kita diperkotak-katikkan oleh tindakan kita sendiri. Gunakanlah sebaiknya. Ianya nikmat yang harus dihargai dan disyukuri sebaiknya., Buktikan yang kita bukan lagi hamba yang kufur nikmat.

No comments:

Post a Comment